Jangan Kesali Dengan Takdirmu Inna lillahiwa Inna ilayhi raji’un Maksudnya,
‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’
Ini adalah ungkapan istirja’, ucapan yang dilontarkan saat ditimpa musibah, atau
mendengar sesuatu musibah yang dihadapi orang lain sebagai tanda mereka yang
diuji atau pun teruji ini bersabar dan kembali dalam mengingati Allah SWT.
Beberapa minggu ini kita sering mendengar musibah yang menimpa masyarakat muslim
di Malaysia dan seluruh dunia. Seperti mana musibah yang telah melanda
masyarakat di selatan Turkiye, susulan gempa demi gempa bumi yang berlaku
merupakan salah satu ujian besar buat masyarakat di sana. Kehilangan tempat
berlindung, kehancuran harta benda, malahan ada yang kehilangan orang tersayang
di bawah runtuhan bangunan, semua ini adalah sebahagin daripada musibah besar
buat mereka di sana. Kita yang mendengar di sini turut merasakan dukacita
masyarakat di sana, dengan segala ruang dan peluang kita semua cuba untuk
membantu mereka, dengan doa dan berkongsi harta, juga tenaga yang ada. Namun
begitu, sekiranya kita lihat kembali musibah-musibah yang melanda ini, sama ada
yang dihadapi orang lain atau mungkin diri kita sendiri, pasti di sana ada
hikmah yang tersembunyi yang kadangkala sukar kita temukan. Tetapi itulah takdir
yang telah ditentukan, sebagai satu ujian kepada hamba yang beriman. Takdir
adalah perkara yang perlu diimani oleh setiap muslim yang beriman kepada qadha’
dan qadar. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith: Diriwayatkan oleh
Umar R.A., malaikat Jibril A.S. bertanya kepada Nabi Muhammad SAW “Beritahu akan
aku berkenaan dengan iman.” Lalu Baginda SAW bersabda: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ
وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ
بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ “Beriman kepada Allah S.W.T, para Malaikat-Nya,
Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir
yang baik dan buruk.” (Hadith Riwayat Muslim) Hadith ini menjelaskan tentang
kewajipan untuk beriman dengan qadha’ dan qadar. Dan beriman dengan qadha’ dan
qadar adalah menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T dengan hati
yang redha. Namun begitu, bagaimana takdir itu boleh dihadapi dengan penuh redha
andai ianya begitu memedihkan? Salahkah sekiranya takdir musibah yang dihadapi
diterima dengan tangisan? Adakah kita dilarang menyesali takdir itu? Jadi,
inshaa Allah itulah perbincangan kita pada artikel kali ini, jangan salahkan
takdir itu… ANTARA DUA TAKDIR Masa tidak pernah menunggu kita dan segala takdir
yang telah ditetapkan Ilahi tetap akan terjadi, bukan mengikut perancangan dan
kehendak manusia, tetapi kehendak Allah SWT. Seperti mana firman Allah SWT dalam
al-Qur’an: إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَٰهُ بِقَدَرٍ “Sesungguhnya Kami
menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.” (Surah
al-Qamar:49) Antara dua takdir, takdir yang baik seperti kesenangan, kekayaan,
kegembiraan, yang mana dikurniakan rezeki adalah sesuatu dengan senang hati kita
menerimanya, tetapi takdir yang sebaliknya iaitu musibah yang menimpa, kematian,
kehilangan harta benda, dan lain-lain yang memedihkan hati ini mula menguji
keredhaan hati manusia. Sedangkan kedua-dua takdir tersebut datang daripada
Tuhan, iaitu Allah SWT. Sama ada takdir itu datang dalam bentuk nikmat atau pun
musibah, hakikatnya kedua-duanya perlu kita syukuri dan redhai. Ini kerana
kedua-dua takdir tersebut pasti ada hikmah yang tersembunyi buat penerimanya.
Seandainya ia datang dalam bentuk kenikmatan seperti murahnya rezeki dengan
diberikan kekayaan harta, takdir itu memperuntukkan seseorang itu lebih banyak
memberi, berkongsi rezeki sebagai tanda syukurnya dia kepada Tuhannya.
Seandainya, takdir datang dalam bentuk ujian, musibah yang menimpa kehilangan
harta kekayaan, itu adalah ujian untuk kita melihat hikmah-Nya, sudah tentu
manusia tidak dapat lari daripada kesedihan, tetapi kesedihan bukan bererti
tidak redha dengan ketentuaan. Kesedihan, tangisan itu adalah sifat fitrah
manusia yang tidak dapat kita nafikan. Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri,
mengalirkan air mata saat merasakan kesedihan atas kehilangan, seperti mana yang
diceritakan dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A.,
beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia
kerana demam panas baginda telah menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul
Rahman bin Auf R.A. kepada Baginda SAW: “Dan engkau pun menangis wahai
Rasulullah? Maka sabda Rasulullah SAW: Wahai anak Auf. Sungguhnya ia adalah
rahmat. Kemudian Rasulullah bersabda: Bahawasanya mata itu menitiskan air dan
hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan
kami sahaja. Dan sungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang
bersedih.” (Hadith Riwayat Bukhari) Hadith ini ibarat satu pujukab kepada kita
tentang tidak mengapa seandainya berita kematian mereka yang tersayang disambut
dengan tangisan kerana hati yang berdukacita, dan kesedihan terhadap kehilangan
sesuatu yang dikasihi adalah fitrah. Namun begitu, jangan sampai kita meratapi
kematian itu, kerana dikhuatiri hilang rasa redha dengan ketentuan Ilahi dalam
hati ini. TAKDIR YANG TIDAK ADIL?? Kadangkala manusia mempersoalkan takdir
mereka yang diuji dengan kemiskinan dan kepapaan, kerosakan harta benda,
kematian dan kehilangan juga kesedihan dan kekecewaan. Perasaan-perasaan ini
sebagai respon kepada kekesalan di atas kekurangan yang dirasakan. Namun begitu,
di atas kesukaran tersebut, sekiranya dipandang dari sudut mencari hikmah, pasti
seseorang itu akan menemukan kebaikan disebaliknya. Janganlah kita mempersoalkan
takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, bagaimana kita menyatakan keimanan
terhadap Tuhan, seandainya takdir yang telah ditetapkan itu kita persoalkan,
malahan menyatakan bahawa takdir tersebut adalah tidak adil, menjadi satu
perkara yang bersalahan dengan kewajipan kita untuk beriman kepada qadha’ dan
qadar. Maka janganlah kita persoalkan keadilan Allah SWT, sedangkan Dialah Tuhan
semesta Alam yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Maka, seharusnya, kita sebagai
hamba yang teruji dan diuji ini, menerima musibah tersebut dengan lapang dada,
dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Seperti mana yang diriwayatkan
dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A., Nabi Muhammad SAW
bersabda: لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ
“Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia
telah bersangka baik kepada Allah SWT.” (Hadith riwayat Muslim) Hadith ini
mengajar kita bahawa menjadi satu kewajipan bagi orang-orang mukmin untuk
bersangka baik terhadap Allah SWT, malahan dituntut untuk lebih memperbanyakkan
bersangka baik kepada Allah SWT saat diuji dengan musibah atau pelbagai ujian.
Ini kerana sesuatu ujian yang menimpa itu tidak lain tidak bukan, tanda kasih
Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Malahan ujian itu adalah untuk mendekatkan
diri hamba kepada Tuhannya. Firman Allah SWT, maksudnya: “Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan
sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghaabun: 11) BERUSAHA, BERDOA
DAN TAWAKKAL UNTUK TAKDIR ITU Sekiranya semua takdir telah ditentukan, bukan
bermakna tiada usaha yang perlu dilakukan. Kita malahan digalakkan untuk
berusaha, dan juga berdoa kepada-Nya dan menyerahkan segala ketentuan
kepada-Nya. Apabila kita berusaha tanpa tawakal itu maknanya, penafian terhadap
kuasa Tuhan, seandainya tiada usaha hanyalah bertawakkal maka itu adalah impian
kosong yang menjadi angan-angan Oleh itu, usaha itu memerlukan tawakkal, dan
tawakkal itu perlukan usaha. Firman Allah SWT: فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى
اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ “Kemudian apabila engkau telah
berazam maka bertawakkalah kepada Allah” (Surah Ali Imran:159) Ayat ini mengajar
kita setelah dengan tekad yang kuat, kita berazam dengan menzahirkan ianya
dengan usaha, kita berdoa dan meletakkan tawakkal kepada Allah SWT. Tawakkal
ialah menyandarkan hati kepada Allah SWT untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan
dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat. Harapan yang kita
letakkan kepada Allah SWT adalah harapan bersifat infiniti tiada tamat tempoh
atau sandaran. Ini membawa makna harapan tersebut tidak putus asa andai tidak
terkabul dan tidak pula kufur seandainya harapan itu terkabul dengan mudahnya.
Itulah tawakkal yang sebenarnya sekiranya kita benar-benar meletakkan kepada
Allah SWT. Sebagai contoh bagi mereka yang menunggu ketibaan zuriat setelah
rumah tangga terbina, pelbagai usaha telah dilakukan dengan berjumpa doktor dan
sebagainya, setelah itu kita berdoa agar hajat yang satu ini terkabul,
seterusnya kita bertawakkal, di sini keimanan manusia itu diuji, adakah ianya
benar-benar meletakkan tawakkalnya kepada Allah SWT dalam penantian menimang
cahaya mata. Di sinilah apa yang dimaksudkan dengan sabar dan syukur itu
memainkan peranannya. Andai tidak diberi kita tetap bersabar dan andai
dikurniakan kita bersyukur atas kurniaan. Oleh itu, jangan kesali dengan
takdirmu kerana kamu telah berusaha, berdoa kini letakkan tawakkalmu kepada-Nya
kerana dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Apa yang paling
penting, untuk dijadikan peringatan kepada kita semua adalah, saat ditimpa
musibah itu tanda Allah SWT merindukan rintihan hamba-hamba-Nya. Oleh itu,
sebagai hamba yang beriman banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, kerana doa
adalah jalan yang paling terbaik untuk kita menyampaikan permintaan dan
keinginan kita kepada Allah SWT. Seperti mana yang disebutkan dalam firman Allah
SWT: وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ
يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ “Dan Tuhan
kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa
kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir: 60)
Ayat ini menjadi bukti bahawa kita diperintahkan untuk berdoa terhadap perkara
yang kita hajati untuk diperkenankan. Oleh itu, dalam mencari solusi kepada
musibah dan ujian yang dihadapi mintalah kepada Allah SWT agar diberikan
petunjuk dalam penyelesaian. Mintalah juga kepada Allah SWT agar dikurniakan
ketenangan, dan keredhaan hati agar semua musibah itu dihadapi dengan penuh
kekuatan hati. Justeru, jangan kesali takdir itu, kita ada senjata yang lebih
kuat untuk menghadapi segala musibah dan ujian ini iaitu DOA. Saya akhiri
penulisan ini dengan sebuah hadith yang begitu bermakna dan menunjukkan bahawa
kuasa doa itu menjadi senjata kepada kita dalam berhadapan dengan takdir ini.
Daripada Ibnu Umar R.A., Nabi SAW bersabda: إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا
نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ
“Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang
belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.” (Hadith Riwayat
al-Tirmizi) Wallahu a’lam.